October 09, 2009

Kisah tentang Solat & Puasa

Ali bin Abi Talib r.a berkata : "Sewaktu Rasullullah S.A.W duduk bersama para sahabat muhajirin dan ansar, tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata:

'Ya Muhammad, kami hendak bertanya kepada kamu tentang kalimat-kalimat yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa A.S. yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab.

Lalu Rasullullah S.A.W. bersabda: 'Silahkan bertanya.'

Berkata orang Yahudi: 'terangkan kepada kami tentang solat 5 waktu yang diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu?'

Sabda Rasullullah S.A.W.: Solat Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada Tuhannya, Solat Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam A.S. memakan buah Khuldi. Solat Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam A.S., maka setiap mukmin yang Solat Maghrib dengan ikhlas kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya. Solat Isya' itu ialah Solat yang dikerjakan oleh para Rasul-Rasul sebelumku, Solat Subuh adalah sebelum terbit matahari, ini karena apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ sujudnya tiap orang kafir.


Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah S.A.W. maka mereka berkata: 'Memang benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, katakanlah kepada kami apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang Solat?.

Rasullullah S.A.W bersabda: Jagalah waktu-waktu Solat terutama sembahyang yang pertengahan, yaitu Solat Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam, orang mukmin yang mengerjakan Solat zuhur diharamkan atasnya uap api neraka Jahanam pada hari Kiamat.

Sabda Rasullullah S.A.W. lagi: Manakala Solat Asar, adalah saat di mana Nabi Adam A.S. memakan buah Khuldi. Orang mukmin yang mengerjakan Solat Asar akan diampuni dosanya seperti bayi yang baru lahir.

Setelah itu Rasullullah S.A.W. membaca ayat yang bermaksud: 'Jagalah waktu-waktu Solat terutama sekali Solat yang pertengahan, Solat Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam A.S. diterima. Seorang mukmin yang ikhlas mengerjakan Solat Maghrib kemudian meminta sesuatu dari Allah maka Allah akan perkenankan.

Sabda Rasullullah S.A.W.: Solat Isya' (atamah). Ketahuilah kubur itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan Solat Isya' berjamaah, Allah S.W.T. haramkan darinya nyala api neraka dan diberinya cahaya untuk menyebrangi titian sirath.

Sabda Rasullullah S.A.W. seterusnya: Solat Subuh, seorang mukmin yang mengerjakan Solat subuh selama 40 hari secara berjamaah, diberi oleh Allah S.W.T. dua kebebasan yaitu:
1. Dibebaskan dari api neraka.
2. Dibebaskan dari nifaq.

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah S.A.W. maka mereka berkata: 'Memang benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad (S.A.W). Kini katakan juga kepada kami semua kenapa Allah S.W.T. mewajibkan puasa 30 hari ke atas umatmu?'.

Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Ketika Nabi Adam memakan buah pohon yang dilarang, lalu makanan itu tersangkut dalam perut Nabi Adam A.S. selama 30 hari. Kemudian Allah S.W.T. mewajibkan kepada keturunan Adam A.S. berpuasa selama 30 hari. Sementara izin makan diwaktu malam itu adalah sebagai kurnia Allah S.W.T. kepada makhlukNya.'

Kata orang Yahudi: 'Wahai Muhammad, memang benarlah apa yang kamu katakan itu. Kini terangkan kepada kami ganjaran pahala yang diperoleh dari puasa itu?'

Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Seorang hamba yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan ikhlas kepada Allah S.W.T. dia akan diberi oleh Allah S.W.T. tujuh perkara: Akan dicairkan daging haram yang tumbuh dari badannya (daging yang tumbuh dengan makanan yang haram), rahmat Allah senantiasa dekat dengannya, diberi oleh Allah sebaik-baik amal, dijauhkan dari merasa lapar dan haus, diringankan baginya siksa kubur (siksa yang sangat mengerikan), diberikan cahaya oleh Allah S.W.T. pada hari kiamat untuk menyeberang titian sirath,dan Allah S.W.T. akan memberinya pahala surga.'

Kata orang Yahudi: 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. lalu Katakanlah kepada kami kelebihanmu antara semua para nabi-nabi?'

Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Seorang nabi menggunakan doa mustajabnya untuk membinasakan umatnya, tetapi aku tetap menyimpankan doaku (untuk memberi syafaat pada umatnya di hari kiamat).'

Kata orang Yahudi: 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, kini kami mengakui dengan ucapan Asyhadu Alla illaha illallah, wa annaka Rasulullah {kami percaya bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan engkau utusan Allah).'

Wallahu 'alam..

No comments:

Post a Comment

Tolong tinggalkan komentar ya dan bukan spam. Terima kasih